16 tahun suami lumpuh, isteri setia tolak kerusi roda sama2 cari rezeki


 Ketika keluar mencari rezeki demi menyara keluarga, seorang wanita Noor Aklima Husin setia ditemani suaminya yang terbaring di kerusi roda sejak 16 tahun lalu.
Dahulunya wanita berusia 41 tahun menjual buah di tepi jalan, tetapi kini dia cuba menanam nanas di Kampung Bukit Gading, Tanah Merah dengan tunjuk ajar suami yang lumpuh akibat kecederaan saraf tunjang.
Menurut Noor Aklima, suaminya yang berusia 38 tahun itu tahu selok-belok mengenai penanaman nanas bagi menguruskan 50,000 pohon nanas jenis madu kaca yang mula ditanam hampir tiga minggu lalu.
“Dalam keadaan terbaring di kerusi roda, suami akan memberi tunjuk ajar apa yang perlu saya lakukan bermula dari peringkat awal penanaman lagi kerana saya langsung tiada ilmu dalam bidang pertanian.
“Setiap hari bermula pagi sehingga petang kami akan berada di kebun ini dan sama-sama memantau proses penanaman nanas…
“…dan boleh dikatakan kami saling melengkapi kerana saya ada kudrat untuk bekerja manakala suami pula walaupun tidak berdaya tapi dia ada ilmu (penanaman nanas),” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Oleh kerana kerap diserang sawan dan sesak nafas, dia tidak sanggup meninggalkan suami berseorangan di rumah malah akan mengusung ke mana sahaja.
Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, menjaga suaminya tidaklah sukar walaupun perlu menolak kerusi roda sambil membawa beg air kencing yang tersangkut di sisi.
“Dia tetap cuba sedaya upaya memainkan peranan sebagai ketua keluarga dan tidak membiarkan saya berseorangan.
“Menguruskannya pun tidaklah sukar walaupun makan perlu disuap dan memakai lampin pakai buang kerana ada kalanya saya dibantu dua anak yang berusia 13 dan 17 tahun,” ujarnya.