Dirempuh ketika isi minyak kenderaan
Kuala Lumpur: Kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berhenti mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Jalan Cheras, di sini, remuk di bahagian sisi selepas dilanggar lori milik syarikat pengurusan alam sekitar, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan yang membabitkan MPV Ssangyong Stavic dengan lori berkenaan berlaku pada 12.30 tengah hari ini.
Katanya, kenderaan MPV itu dipandu lelaki berusia 45 tahun itu, lori syarikat pengurusan alam sekitar pula dipandu lelaki berusia 26 tahun.
"Menurut keterangan pemandu lori itu, kenderaan dipandunya hilang kawalan ketika melalui jalan yang tidak rata sebelum terbabas," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulkefly berkata, tiada individu dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi lima minit 48 saat yang menunjukkan MPV berkenaan yang remuk di bahagian sisi selepas dilanggar lori berkenaan tular di media sosial, hari ini.